Jangan biar rakyat laungkan kata-kata "samseng, pembunuh beruniform"

KUALA LUMPUR, 25 Jan - Setiap kali membaca laporan yang mendakwa pihak polis menyiksa orang kena tahan (OKT) sehingga terbunuh, ahli-ahli PAS semakin teringat peristiwa Memali, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Umpamanya bila kita mendengat kes kematian Kugan Ananthan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, kita semakin teringat bagaimana Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang tidak dibuktikan kesalahan mereka diserang dan dibunuh oleh pihak polis atas arahan para pemimpin Umno.

"Kita juga semakin teringat bagaimana mereka yang ditahan selepas pembunuhan beramai-ramai itu disiksa dengan begitu kejam. Senator Mohamad Yusuf Husin adalah salah seorang yang disiksa dengan begitu teruk dan beliau boleh menceritakannya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasifikasikan kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis sebagai kes bunuh.

Kugan ditahan di Kajang pada 15 Januari lalu berhubung kes kecurian kereta. Lima hari kemudiannya, dia meninggal dunia ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Keluarganya tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Bedah siasat kedua ke atas mayat Kugan dijadualkan dilakukan hari ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

"Walaupun beliau ditahan berhubung kes kecurian kereta, tetapi apabila Peguam Negara mengklasifikasikan kematian beliau sebagai kes bunuh dan beliau pula berada di dalam lokap polis, Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab mengarahkan penyiasatan dipercepatkan dan beliau tidak boleh membiarkan masyarakat terus melaungkan kata-kata pembunuh bergaji, pembunuh beruniform, samseng beruniform dan sebagainya," kata Mahfuz.

Jika benar Kugan dibunuh oleh pihak polis yang menyoalsiasat beliau, katanya, PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

"Kita juga menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas ke atas pembunuhan itu.

"Kita bimbang ada tangan-tangan luar yang mengarahkan supaya Kugan diperlakukan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat darinya kerana beliau dilaporkan ditangkap berikutan kecurian kereta-kereta mewah," katanya.

Suruhanjaya tersebut juga hendaklah diberi kuasa untuk menyiasat semua kejadian yang sama dengan kejadian pembunuhan Kugan, kata Mahfuz lagi.

Pada 29 Disember 2003, ketika beliau baru memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan, kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan PDRM sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati.

Suruhanjaya tersebut kemudiannya ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed Dzaidin dan 15 anggota yang lain.

Suruhanjaya yang ditubuhkan pada 4 Februari 2004 itu mengemukakan 125 cadangan kepada kerajaan untuk membaiki imej polis.

Salah satu cadangan utama Suruhanjaya tersebut adalah untuk kerajaan mewujudkan IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) dan tarikh akhir penubuhannya dicadangkan pada 31 Mei 2007.

Cadangan tersebut ditentang hebat oleh pihak polis sendiri dan akhirnya cadangan tersebut tinggal cadangan sahaja.

0 comments: