Showing posts with label MStar Online. Show all posts
Showing posts with label MStar Online. Show all posts

Politik wang: Umno disaran mansuh semua sayap parti

KUALA LUMPUR: Umno disaran supaya memansuhkan semua sayap partinya bagi memastikan gejala rasuah politik dapat dihapuskan dengan lebih berkesan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata langkah penstrukturan semula parti itu penting kerana pengurangan sayap parti akan mengurangkan proses pemilihan bagi membendung gejala politik wang.

"Lagi banyak pemilihan, lagi banyak berlakunya masalah politik wang.

"Saya fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi main (guna) duit.

"Saya juga memikirkan barangkali Pemuda dan Wanita juga perlu dipertimbangkan kerana di England rasanya tidak ada pertubuhan wanita baik dalam parti Konservatif mahupun Parti Buruh," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di sini hari ini.

Beliau turut mengakui gejala politik wang turut berlaku dalam pemilihan peringkat Puteri dan Putera Umno namun hingga kini masih belum ada pihak yang tampil membuat aduan secara rasmi.

"Saya dengar-dengar Putera, Puteri pun dah pandai main (guna) duit," katanya.

Jelas beliau ahli Puteri dan Putera Umno yang terdiri daripada golongan muda seharusnya memberikan tumpuan terhadap pelajaran dan bukannya bergiat aktif dalam bidang politik.

Ditanya pandangan beliau mengenai objektif penubuhan kedua-dua sayap parti itu adalah bagi memberi pendedahan awal terhadap politik, beliau berpendapat pendedahan tersebut masih terlalu awal.

"Mereka sepatutnya pentingkan pelajaran dahulu, mereka masih belasan tahun dan awal 20an.

"Kalau nak bagi pendedahan pun janganlah terlalu awal kerana sekarang ini bukan masanya lagi mereka aktif berpolitik," katanya.

Tambah beliau lagi kepimpinan hari ini memerlukan golongan muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

"Kita bergantung kepada orang muda untuk membawa negara kita pada tahap yang tinggi dan bertanding dengan negara lain," katanya.

Tengku Ahmad Rithauddeen turut mencadangkan agar sistem kuota yang diamalkan untuk tujuan pemilihan dalam parti dimansuhkan kerana ia dilihat menyumbang kepada gejala politik wang.

Mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR), beliau kecewa dengan tindakan itu.

"Saya sebenarnya kecil hati dengan tindakan seperti itu terutamanya bila ada masalah.

"Kita boleh selesaikan masalah yang timbul dari dalam parti," katanya. - MSTar Online

Lompat: Petanda awal gelombang wakil rakyat - Penganalisis politik

Oleh Zanarian Abd. Mutalib

TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno, Datuk Nasarudin Hashim melompat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin, salah satu komponen Pakatan Rakyat, dilihat kemungkinan petanda awal "gelombang wakil rakyat" berbanding "gelombang rakyat" Mac lalu.

Justeru, penganalisis politik berpendapat tindakan Nasarudin yang mengumumkan untuk menyertai Pakatan Rakyat kelmarin dilihat mungkin akan membuka jalan kepada wakil rakyat BN yang lain untuk mengikut langkah beliau.

Pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyudin berkata, untuk menyifatkan tindakan melompat parti ini sebagai permulaan 'gelombang wakil rakyat' mungkin terlalu awal, namun ia tidak mustahil.

"Setakat ini, mungkin terlalu awal untuk meramalkan akan ada lagi wakil rakyat BN yang akan melompat ke pembangkang kerana pada masa ini baru ada seorang wakil rakyat BN yang menyertai pembangkang.

"Jika ada yang kedua (menyertai pembangkang), mungkin itu boleh dikatakan permulaan 'gelombang wakil rakyat' selepas berlakunya 'gelombang rakyat' pada pilihan raya umum, Mac lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata, tindakan Nasarudin seperti 'menunjuk jalan' kepada wakil rakyat BN lain yang mungkin sedang berkira-kira untuk menyertai pembangkang.

"Hal ini tidak mustahil akan berlaku kerana dalam Umno, ada banyak puak dan mungkin ada yang rasa mereka dipinggirkan lalu memikirkan perkara itu.

"Mungkin ada yang tidak puas hati kerana kalah dalam perebutan jawatan dan sebagainya.

"Mungkin mereka tidak menyatakannya tetapi dalam diam-diam, siapa tahu... seperti apa yang dilakukan Nasarudin," katanya.

Ghazali berkata, tindakan nekad tersebut mungkin diambil Nasarudin memandangkan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan mempunyai saingan yang semakin kuat.

"Jika Umno kuat dan parti lawan lemah, mungkin mereka akan berfikir dua kali untuk ke parti lawan tetapi oleh sebab Umno sedang lemah, maka mereka rasakan tidak ada guna bertahan dalam Umno.

"Kita tahu dalam politik, semua orang mahu menjaga kepentingan masing-masing dan istilah setiakawan adalah perkara terakhir yang diambil kira," katanya.

Beliau berkata, gabungan parti dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang semakin kuat sememangnya mampu menarik wakil rakyat BN menyertai mereka.

"Selepas menang di lima negeri pada pilihan raya umum Mac lalu, mereka juga telah memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan jika tidak menang pun pada pilihan raya Sarawak yang akan datang, mereka mungkin berjaya menambah kerusi," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman juga berpendapat, tindakan Nasarudin itu akan menarik wakil rakyat BN yang lain untuk mengikut jejak langkah beliau.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan menjadi bola salji yang semakin lama semakin besar... semakin lama, semakin ramai pula yang akan bertindak demikian.

"Mungkin pada masa ini, ada yang sedang tunggu dan lihat dan tindakan ADUN Bota ini menyebabkan mereka semakin berani," katanya.

Beliau berkata, tindakan Nasarudin sebagai wakil rakyat Umno menyertai PKR sememangnya sesuatu yang mengejutkan memandangkan ahli-ahli Umno mempunyai disiplin yang kuat dan patuh kepada arahan parti.

"Walaupun beliau adalah ADUN, bukan ahli Parlimen tetapi tindakan beliau sebagai seorang pemimpin daripada Umno sememangnya mengejutkan.

"Kita tidak jangka 'lompat parti' ini akan berlaku di kalangan ahli Umno yang kuat disiplinnya dan sering mengikut arahan parti. Kita jangka mungkin wakil rakyat dari Sabah atau Sarawak," katanya.

Beliau berkata, tindakan Nasarudin itu bagaimanapun merupakan langkah 'selamat' kerana Perak kini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau percaya, kekalahan Nasarudin merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Parit baru-baru ini menjadi penyumbang utama kepada tindakannya menyertai PKR.

"Walaupun beliau ADUN, jawatan Ketua Bahagian penting kerana saluran dana kerajaan pusat untuk membantu rakyat akan disalurkan kepada Ketua Bahagian.

"Mungkin kekalahannya itu menyebabkan beliau tidak berpuas hati dan merasakan telah hilang pengaruh," katanya.

Justeru katanya, BN sebagai parti pemerintah perlu mengkaji semula pengagihan dana ini yang bukan sahaja hanya diserahkan kepada Ketua Bahagian tetapi juga kepada ADUNnya.

Katanya, wakil-wakil rakyat Umno sepatutnya mempunyai semangat setiakawan yang kuat dan berjiwa Umno jika tidak mahu perkara ini terus berulang.

"Jangan kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar," katanya. / Mstar