Showing posts with label Harakah. Show all posts
Showing posts with label Harakah. Show all posts

Rakyat tolak Najib jadi PM, tidak mahu peralihan kuasa

(Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak akan melalui jalan sukar untuk menduduki kerusi Putrajaya sebagai Perdana Menteri kerana terdapat petunjuk proses peralihan kuasa mungkin tidak berlaku atas desakan pelbagai pihak dalam Umno sendiri kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Sharpawi.

Azman yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu ketika berceramah di Kampung Razali delat sini, baru-baru ini menjelaskan proses peralihan kuasa terganggu akibat Najib yang mengetuai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu hilang wibawa akibat daripada kekalahan Umno-BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

"Dulu apabila Unno BN kalah dalam pilihanraya umum semua tangan menunjukkan kearah Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap lemah. Kemudian berlaku desakan agar peralihan kuasa dalam Umno perlu dilakukan.

"Kemudian apabila Umno BN kalah lagi dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, desak lagi agar segerakan peralihan kuasa dalam bulan Mac. Pak Lah turut lagi, ini bermakna semasa berlakunya pilihanraya kecil Kuala Terengganu Najib adalah Presiden Umno dan Najib adalah bayangan Perdana Menteri. Tetapi rakyat secara jelas telah menolak kepimpinan Najib dengan mengalahkan calon Umno. Sebab itu kita percaya Najib lalui jalan sukar,"katanya.

Tambah Azman terdapat banyak desakan agar Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri bagi meneruskan agenda pembaharuannya dalam pentadbiran.

"Banyak desakan kita dengar agar Pak Lah meneruskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Ada yang berpendapat kalau Najib ambil alih keadaan bertambah buruk," katanya.

Mengenai kejayaan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu Azman berkata sokongan luar biasa golongan muda memberi keyakinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan pada pilihanraya akan datang.

"Sokongan golongan muda memang luar biasa dan amat membimbangkan Umno. Kejayaan kita kerana golongan muda berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat, kalau trend ini berterusan masa depan PAS dan Pakatan Rakyat memang cerah,"katanya.

Jangan biar rakyat laungkan kata-kata "samseng, pembunuh beruniform"

KUALA LUMPUR, 25 Jan - Setiap kali membaca laporan yang mendakwa pihak polis menyiksa orang kena tahan (OKT) sehingga terbunuh, ahli-ahli PAS semakin teringat peristiwa Memali, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Umpamanya bila kita mendengat kes kematian Kugan Ananthan di Balai Polis Taipan, Subang Jaya, kita semakin teringat bagaimana Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang tidak dibuktikan kesalahan mereka diserang dan dibunuh oleh pihak polis atas arahan para pemimpin Umno.

"Kita juga semakin teringat bagaimana mereka yang ditahan selepas pembunuhan beramai-ramai itu disiksa dengan begitu kejam. Senator Mohamad Yusuf Husin adalah salah seorang yang disiksa dengan begitu teruk dan beliau boleh menceritakannya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jumaat lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasifikasikan kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis sebagai kes bunuh.

Kugan ditahan di Kajang pada 15 Januari lalu berhubung kes kecurian kereta. Lima hari kemudiannya, dia meninggal dunia ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, Subang Jaya.

Keluarganya tidak berpuas hati dengan kematian Kugan mendakwa dia didera polis kerana ada banyak kesan kecederaan pada tubuhnya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Bedah siasat kedua ke atas mayat Kugan dijadualkan dilakukan hari ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

"Walaupun beliau ditahan berhubung kes kecurian kereta, tetapi apabila Peguam Negara mengklasifikasikan kematian beliau sebagai kes bunuh dan beliau pula berada di dalam lokap polis, Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab mengarahkan penyiasatan dipercepatkan dan beliau tidak boleh membiarkan masyarakat terus melaungkan kata-kata pembunuh bergaji, pembunuh beruniform, samseng beruniform dan sebagainya," kata Mahfuz.

Jika benar Kugan dibunuh oleh pihak polis yang menyoalsiasat beliau, katanya, PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.

"Kita juga menuntut kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas ke atas pembunuhan itu.

"Kita bimbang ada tangan-tangan luar yang mengarahkan supaya Kugan diperlakukan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat darinya kerana beliau dilaporkan ditangkap berikutan kecurian kereta-kereta mewah," katanya.

Suruhanjaya tersebut juga hendaklah diberi kuasa untuk menyiasat semua kejadian yang sama dengan kejadian pembunuhan Kugan, kata Mahfuz lagi.

Pada 29 Disember 2003, ketika beliau baru memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan, kerajaan akan menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menjadikan PDRM sebagai satu pasukan penguat kuasa undang-undang yang berwibawa dan dihormati.

Suruhanjaya tersebut kemudiannya ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Mohamed Dzaidin dan 15 anggota yang lain.

Suruhanjaya yang ditubuhkan pada 4 Februari 2004 itu mengemukakan 125 cadangan kepada kerajaan untuk membaiki imej polis.

Salah satu cadangan utama Suruhanjaya tersebut adalah untuk kerajaan mewujudkan IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) dan tarikh akhir penubuhannya dicadangkan pada 31 Mei 2007.

Cadangan tersebut ditentang hebat oleh pihak polis sendiri dan akhirnya cadangan tersebut tinggal cadangan sahaja.

Umno jadi pembangkang, Pakatan perlu sedia jadi pemerintah

Ahmad Lutfi Othman

Semua pihak mengakui bahawa Umno kini hadapi saat-saat paling sukar dan paling getir. Bukan ia tidak pernah lalui zaman-zaman gerhana sebelum ini tetapi suasana mendung sekarang jauh berbeda. Ragam rakyat, khususnya pengundi, juga berlainan. Minda mereka lebih kompleks. Kesedaran berpolitik juga bertambah matang. Mereka semakin terbuka dengan pendedahan luar. Manakala perubahan yang digembar-gemburkan pimpinan Umno hanya retorik.

Prestasi hambar

Pemimpin, aktivis dan penyokong Umno riuh-rendah mengulas prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya umum ke-12, Mac 2008. Pencapaian rakan-rakannya dalam BN, terutama MCA dan MIC, lagilah teruk.

Selain kritikan pedas Dr Mahathir Mohamad, ramai juga pimpinan Umno sendiri melakukan muhasabah dan kritikan terbuka. Presidennya, Abdullah Ahmad Badawi dianggap penyebab utama kegagalan Umno. Desakan agar beliau berhenti tidak mudah diredakan.

Seperti lazimnya, timbalan beliau, Najib Razak dalam diam mengambil peluang. Abdullah yang kesempitan dibiarken kelemasan. Akhirnya pelan peralihan kuasa yang sepatutnya berlangsung 2010 terpaksa dipercepatkan ke bulan Mac akan datang.

Lima bulan selepas pilihan raya umum lalu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KeADILan mengosongkan kerusi Permatang Pauh. Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar Ibrahim memang dijangka menang mudah tetapi pemimpin karismatik berkenaan berjaya meningkatkan majoriti isterinya meskipun serangan peribadi terhadap beliau dipertingkatkan.

Najib terduduk

Sebagai penerajui kempen BN yang berkampung di kubu Anwar, Najib terduduk. Belum pun duka diubati, keputusan pilihan rayaa kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu menambah bisa dan pedih Najib. Kerusi Parlimen Umno di negeri yang dikuasai BN ditawan PAS.

Soalnya, apakah Umno yang gering kini mampu sembuh selepas musim beredar? Mungkinkah kes yang menimpa Wan Ahmad Farid Wan Salleh merupakan suatu pengecualian atau jika calon lain dipilih BN, maka Pakatan Rakyat mungkin dapat dikecewakan? Benarkah seperti kata A Kadir Jasin, "Umno masih jauh daripada fasa nazak"? Rasionalkah telahan Mahathir bahawa "semua isyarat menunjuk bahawa Umno akan ditewas dan hancur dalam pilihan raya umum ke-13"?

Sebagai ahli PAS dan petugas Harakah yang turun mengikuti kempen pilihan raya Kuala Terengganu tempoh hari, turut merasai debar menanti keputusan diumumkan, pastinya saya mengharapkan andaian Mahathir itu menjadi realiti walaupun banyak idea dan pendirian bekas Perdana Menteri itu sukar saya terima.

Umno hampir pasti jadi pembangkang

Saya juga mengharapkan pendapat Kadir Jasin itu tersasar; Umno memang gelisah menghadapi nazak dan saatnya menjadi parti pembangkang di seluruh negara hampir tiba. Naluri kewartawanan saya juga merasai detik PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa makin dekat.

Bagaimanapun, ia tidak semudah itu. Memang Umno yang sakit belum tentu disembuhkan segera. Begitu juga, PAS dan Pakatan Rakyat yang menang belum pasti secara automatik dapat menggantikan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang. Harapan dan impian satu hal yang berbeda dengan cabaran untuk mencapai cita-cita kudus itu.

Hanya kerana parti pemerintah yang seusia dengan Umno sudah menyembah bumi, seperti berlaku di negara-negara lain, namun tidak bermakna PAS bersama Pakatan Rakyat dapat mengambil alih posisi itu dengan mudah.

Umno sendiri mungkin sudah menyediakan resepi secukupnya untuk parti berkenaan digulung sejarah. ia semakin dilihat tidak relevan dan ketinggalan zaman, satu tuduhan yang dahulunya dilemparkan kepada parti-parti pembangkang.

Soalnya, di mana kedudukan PAS dan Pakatan Rakyat hari ini? Bagi saya, seperti ungkapan Musa Hitam, Umno kini menghidap penyakit tua, namun tidak bermakna orang tua mati lebih awal daripada golongan remaja misalnya.

Kemampuan menyesuaikan diri

Keupayaan PAS-Pakatan membentuk sejarah menerajui pemerintahan negara lebih ditentukan oleh parti berkenaan untuk menyesuaikan dirinya dengan tuntutan semasa dan perubahan zaman, lebih daripada mengharapkan Umno perlahan-lahan mati dengan sendirinya.


Sejauh mana selama hampir setahun ini PAS-Pakatan dapat membuktikan komitmen membela kepentingan rakyat, memenuhi segala janji dalam manifesto pilihan raya lalu, menyuntik keyakinan bahawa ia mampu melaksanakan dasar dan rancangan kerajaan yang lebih baik, juga tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan wakil-wakil rakyat Umno-BN?

Apakah pimpinan PAS tetap mesra rakyat, turun mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat, tidak meninggi diri walaupun sudah menerajui negeri, tetap hidup sederhana meskipun boleh bermewah-mewah, mengelak dari dilihat sombong dan angkuh dengan kuasa?

Bukti di saluran mengundi

Anak muda dan golongan belia, seperti dibuktikan melalui saluran mengundi tertentu di Kuala Terengganu, sememangnya menolak BN. Kecenderungan ini berakar dan berlanjutan daripada trend mengundi, Mac 2008.

Sifat orang muda yang terbuka dengan maklumat, kritis terhadap persekitaran, ghairah dengan perubahan, pantang diperbodohkan, bersedia untuk menyanggah, membuka jalan untuk Pakatan bertapak lebih kukuh.

Jumlah pengundi muda ini semakin ramai. Dianggarkan menjelang pilihan raya ke-13, tiga tahun akan datang, dua juta pengundi baru bakal menjadi pemilih berdaftar.

Kesedaran berpolitik yang lebih matang akan mendorong empat juta lagi rakyat yang selama ini tidak mendaftar untuk berbuat demikian. Sudah tentu Umno bertambah gerun menghadapi ketidak-tentuan ini.

Walaupun Abdullah berundur dan Najib melakukan re-branding terhadap Umno, saya yakin imiginasi pengundi muda tidak mudah untuk bersama bakal Presiden Umno itu. Malah, imej buruk dan membusuk Umno tidak dapat dipulihkan Najib hanya dengan usaha-usaha kosmetik, apatah lagi bagasi sejarahnya cukup berat untuk diheret.

Umno sukar dipulih

Melalui media, kelihatan ada tekanan supaya Umno segera berubah sebelum ia ditolak pengundi. Pandangan kritis memulihkan Umno disiarkan walaupun ia umpama ubat yang pahit yang sukar ditelan. Ahli-ahli diperingatkan bahawa tanpa kuasa Umno tiada sebarang makna.Pimpinan Umno tentu sedar tentang derita penyeksaan apabila kuasa terlucut dan payahnya merangkul kembali.

Pilihan buat rakyat semakin jelas. Dulu BN sukar digugat kerana rakyat tidak nampak siapa alternatifnya. Lorong penyediaan sistem dua parti semakin luas dan hampir menjadi realiti.

Signal penubuhan Majlis MB-KM

Parti-parti bukan BN menunggu masa untuk digabungkan secara legal dalam Pakatan Rakyat. Halangan mendapatkan tujuh ahli dalam gabungan itu rasanya mudah dileraikan sekarang. Kesediaan parti-parti dalam Pakatan untuk berbincang tentang perbezaan dan bersetuju dengan persamaan kian terserlah. Penubuhan majlis Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri Pakatan Rakyat adalah signal awal yang "cukup menjanjikan".

Saya memang berdoa agar impian ini mudah direalisasikan. Mudah-mudahan

Nafi lepas jawatan Adun, akan saman akhbar

KUALA TERENGGANU, 26 Jan - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam sebagaimana didakwa Akhbar Mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari.

Beliau mengakui tidak pernah dihubungi akhbar berkenaan untuk mendapat penjelasan berhubung dengan kenyataan tersebut.

"Mungkin wartawan akhbar berkenaan hubungi saya dari jauh-jauh, saya tidak pasti sama ada saya bertemu dengan wartawan akhbar berkenaan atau tidak," jelasnya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, terdapat satu SMS dihantar ke talian telefon mudah alih beliau meminta supaya melepaskan jawatan tersebut untuk kononnya menumpukan perhatian kepada tugas baru di Parlimen Kuala Terengganu.

Tetapi beliau tidak dapat pastikan siapa yang mengirimkan SMS tersebut.

"Saya menyifatkan kenyataan semacam ini dikeluarkan oleh orang yang 'desperado' dan cuba menfitnah diri saya," jelasnya lagi.

Justeru beliau meminta akhbar berkenaan membuat pembetulan atau menarik balik kenyataan tidak benar itu dengan menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai ADUN Wakaf Mempelam.

Abdul Wahid kini dalam proses mendapatkan nasihat peguam bagi menyaman akhbar berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak benar berhubung dengan dirinya jika laporan itu tidak ditarik balik.

Baru-baru ini sebuah akhbar Mingguan WATAN Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari mendakwa Abdul Wahid Endut dijangka melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan.

Akhbar itu yang meletakkan tajuk utama muka depan 'Wahid Lepas Adun' dan tajuk kecilnya 'Satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu untuk malukan BN' melaporkan dalam intro beritanya bahawa satu lagi pilihanraya kecil dijangka berlaku di Terengganu berikutan kemenangan ahli parlimen Kuala Terengganu yang baru, Abdul Wahid Endut

Dalam perenggan ketiga di muka yang sama akhbar itu menyebut Wahid dijangka melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam kerana mahu memberi tumpuan sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu.

Akhbar itu seterusnya menyebut beliau kini memiliki dua kerusi, parlimen dan DUN setaraf dengan Presiden PAS, Dato' Seri Haji Hadi Awang yang juga ahli parlimen Marang dan ADUN Ru Rendang sedangkan Wahid adalah Bendahari PAS Terengganu.

Abdul Wahid berkata beliau tidak ada hasrat untuk berbuat demikian dan akan mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan. - Harakah

Adun lompat: Ini komen Tok Guru

KB: Penyertaan Adun Bota, Dato' Nasharuddin Hashim, ke dalam Parti KeAdilan Rakyat membuktikan fitnah dan hasutan Umno terhadap Pakatan Rakyat selama ini demi untuk meraih sokongan akhirnya 'menikam' diri.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga menyifatkan 'penghijrahan' Adun Bota itu sebagai hukuman terhadap pemimpin Umno yang mengecam Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar selama ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan Nasharuddin yang menyertai KeADILan sambil mengucap tahniah di atas tindakan itu.

Sambil melahirkan rasa terharu serta rasa syukurnya, beliau berkata fenomena itu memberi tamparan hebat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di mana rakyat semakin menolak mereka.

"Sekiranya sebelum ini angin perubahan telah berlaku kepada rakyat sehingga BN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, namun perkara yang sama turut berjangkit di kalangan Adun.

"Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini," ujarnya lagi.

Tuan Guru seterusnya berkata, dengan penyertaan itu juga, bererti warga wakil rakyat di kalangan Pakatan Rakyat turut bertambah dan ia akan menjadi benteng pertahanan yang semakin kuat khususnya di Perak.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anggota dan penyokong Pakatan Rakyat sama-sama mengukuhkan perpaduan di samping menterjemahkan imej yang cukup baik pada masyarakat umum.

"Dengan imej yang baik, bersih selain perjuangan kita yang lebih pada kebajikan berbanding lawan, rakyat termasuk penyokong parti akan tertawan," ujarnya.

Tambahnya, tidak mustahil ada lagi dikalangan Adun BN akan menyertai Pakatan Rakyat sama ada menyertai PAS, KeAdilan atau DAP. -Harakah