"Sudah berpuluh tahun rakyat kena buli dengan Umno. Hampir separuh abad Umno menjadi pembuli. Umno buli generasi pasca merdeka. Tanpa ada rasa belas kasihan Umno menjadi ketua buli dalam Barisan Nasional. Melayu kena buli dengan Umno, cina kena buli dengan MCA dan India kena buli dengan MIC. Paling lawak, Umno jugak sekali-sekala suka buli MCA dan MIC.
Ketika Umno sedang seronok buli rakyat yang baru terlepas dari cengkaman penjajah dan sangat mengharapkan sesuap nasi, Umno begitu seronok menakut-nakutkan anak-anak yang ketika itu masih kecil bertelanjang.
Generasi ketika itu sangat takut kepada Umno. Apa yang Umno buat betul belaka. Putih kata Umno, putihlah pada rakyat. Sesiapa yang berani membangkang ketika itu, pasti akan mendapat azab dari Umno. Mereka akan di 'raging' secukup-cukupnya oleh Umno.
Jika yang menentang pegawai kerajaan, bersiap-siaplah mereka untuk di poskan ke kawasan pendalaman. Mereka akan dihukum berkerja di wilayah persekutuan jin bertendang.
Sebaliknya jika mereka yang membangkang itu berkerja sendiri, jangan haraplah nak merasa baja subsidi, tanah, jalan raya, atau apa-apa kemudahan prasarana dari kerajaan. Mereka akan dibuli oleh tali barut Umno yang bergelar YB, Tok Sidang, Tok Penghulu, atau Pengerusi JKKK. Dan jika yang membangkang itu pelajar, jangan mimpi nak dapat biasiswa atau apa-apa bantuan. Silap-silap kena humban di dalam ISA.
Itu dulu. Ketika Umno sihat dan muda. Kini usia Umno lebih 62 tahun. Umno sudah tua. Oleh kerana banyak masa mudanya digunakan untuk buat jahat, Umno cepat kena penyakit tua. penyakit nyanyuk dan mudah lupa. Barangkali berkat doa orang yang dizalimi membuatkan Umno terlalu mudah dihinggapi pelbagai penyakit tua yang kronik.
Kini tiba giliran Umno kena buli. Dalam keadaan sakit tua Umno telah dibuli oleh generasi muda. Pengundi muda inilah yang telah buli Umno melalui saluran peti undi pilihanraya. Generasi muda yang lahir di era 70-an ini telah dibesarkan dihadapan Umno sendiri. Generasi ini telah lama meluat melihat gelagat dan telatah Umno ketika membuli ibu bapa mereka.
Generasi muda ini telah menjumpai formula kelemahan Umno. Selaku orang tua, Umno mudah dikalahkan jika pertandingan pilihanraya berlaku dengan satu lawan satu. Selama ini Umno kuat sebab tiada pakatan di kalangan pembangkang. Akhirnya Umno mudahmendominasi pertandingan. Lalu setiap pilihanraya Umno dan BN akan buli parti-parti pembangkang secukup-cukupnya.
Dan sekali lagi, itu dulu. Ketika Umno masih boleh membuli. Ketika SPR, Polis, media, dan pegawai-pegawai kerajaan cari makan dengan Umno. Ketika Umno boleh memperbodoh-bodohkan rakyat.
Kini giliran Umno kena buli. Rakyat telah bangkit untuk buli Umno dan BN. Dan rakyat semakin bersedia untuk mencari pembuli-pembuli datuk nenek mereka. Selepas ini tiada siapa yang terlepas. Baik kerajaan atau pembangkang tetap tidak terlepas jika masih membudayakan perangai pembuli seperti Umno.
Seronok tengok Umno gelabah beruk kena buli dengan generasi muda. Dan yang lawaknya, dalam diam sekali sekala dilihat MCA dan MIC juga ambil kesempatan untuk turut buli Umno. Maklumlah mereka juga pun dah lama bengang dengan Umno.
Bagi semua ahli politik ingatlah, sejarah tidak pernah berulang, yang berulang hanyalah kesilapan manusia itu sendiri! - Tranungkite
0 comments:
Post a Comment