Tanya pasal lembu, ini jawab Khalid

Shah Alam: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan tuduhan yang mendakwa beliau menyalahgunakan dana kerajaan negeri oleh Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak).

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di tingkat 20, bangunan SUK di sini petang semalam.

Kerajaan negeri katanya sentiasa berpegang teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawab secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

"Saya peka dengan tuduhan ini yang dilemparkan tentang menyalahgunakan kuasa dalam isu pembelian 46 lembu untuk program korban diperingkat Perlimen Bandar Tun Razak untuk 46 buah surau dikawasan itu.

"Lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri" tambahnya ketika diminta mengulas tuduhan ini.

Tegas beliau, dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk membeli lembu-lembu tersebut. Sebaliknya, lembu itu telah didermakan oleh enam anak syarikat dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat.

"Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan kes ini dan berharap perjalan penyiasatan ini dapat dilakukan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh pihak yang mempunyai agenda politik," katanya.

Sebelum itu satu aduan telah dibuat oleh Gerak kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Aduan dibuat melalui Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Menteri Besar itu telah menggunakan wang kerajaan untuk pembelian lembu untuk dikorban dalam hari raya haji Disember lalu.

Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri dan aduanditerima oleh Pengerusi SPRM Selangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pagi semalam. -Harakah

0 comments: